February 19, 2018

Ketahui Sejarah Jawatan PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik)

malaysia kita

Sesuatu yang berlaku ada sejarahnya. Begitu juga dengan jawatan PTD atau Pegawai Tadbir Diplomatik. Anda berminat untuk menjawat jawatan ini bukan, jadi anda perlu tahu sedikit sebanyak tentang sejarah lahirnya jawatan PTD di negara kita. Mungkin juga ia akan menjadi salah satu soalan yang akan ditanya dalam exam atau pun semasa temuduga PTD nanti.

Artikel yang kami petik dari portal web INTAN ini diharap dapat memberi sedikit maklumat berguna untuk anda. Silakan membaca…

Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai peranan yang signifikan dalam memastikan negara dan masyarakat dapat mengecapi keharmonian dan kemakmuran. Sehubungan itu juga, keberkesanan perkhidmatan awam merupakan penyumbang utama kepada kepesatan pembangunan negara bagi membolehkan Malaysia berdiri teguh sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat dan dihormati di persada dunia.

Dalam konteks sektor awam di negara ini, Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan perkhidmatan premier yang membantu kerajaan dalam merencana dan melaksanakan dasar-dasar negara. Sebagai teras perkhidmatan awam negara, pegawai- pegawai PTD telah mengisi kebanyakan jawatan-jawatan utama di peringkat kementerian dan jabatan, badan berkanun persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, syarikat milik kerajaan dan badan-badan antarabangsa.

Dari perspektif sejarah, skim perkhidmatan PTD lahir sebagai kesinambungan daripada jentera pentadbiran negara semenjak sebelum kemerdekaan. Ia bermula seawal tahun 1896, apabila perkhidmatan yang dinamakan Straits Settlements and Federated Malay States Civil Service telah diwujudkan oleh British untuk mentadbir Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Kemudian pada tahun 1920, Malayan Civil Service telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai kolonial untuk mentadbir Tanah Melayu. Malayan Civil Service (MCS) telah mengalami pelbagai transformasi sepanjang penubuhannya. Pada tahun 1929, Malay Administrative Service telah diwujudkan dengan mengambil pegawai-pegawai Melayu sebagai pelapis kepada MCS.

Pada tahun 1966, MCS telah digantikan dengan Malaysian Home and Foreign Service (Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri Malaysia). Namun begitu, peranan penting perkhidmatan ini dalam sistem pentadbiran awam Malaysia tetap kekal berterusan. Akhirnya pada tahun 1972, perkhidmatan ini telah ditukar namanya kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seterusnya kekal sehinggalah sekarang.

Speak Your Mind

*

Spam Blocking by WP-SpamShield